FBI siasat ancaman bom terhadap calon Kabinet Trump

Bernama
November 28, 2024 17:31 MYT
FBI menyedari banyak ancaman bom dan insiden 'swatting' yang menyasarkan calon dan pelantikan pentadbiran baharu. - Reuters
WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Rabu memaklumkan ia sedang menyiasat ancaman yang dibuat terhadap individu yang dicalonkan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk jawatan dalam pentadbiran baharunya.
"FBI menyedari banyak ancaman bom dan insiden 'swatting' yang menyasarkan calon dan pelantikan pentadbiran baharu dan kami sedang bekerjasama dengan rakan penguatkuasaan undang-undang kami," menurut FBI dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Kami memandang serius semua potensi ancaman dan seperti biasa, menggalakkan orang ramai untuk segera melaporkan apa-apa yang mereka anggap mencurigakan kepada penguatkuasaan undang-undang," tambahnya.
"Swatting" merujuk kepada helah atau laporan palsu yang bertujuan mencetuskan operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa.
Setiausaha akhbar Rumah Putih yang bakal dilantik Trump, Karoline Leavitt berkata insiden itu berlaku pada Selasa malam dan pagi Rabu. Penguat kuasa undang-undang telah bertindak pantas untuk memastikan keselamatan mereka yang berkenaan, katanya.
"Dengan Presiden Trump sebagai teladan kami, tindakan intimidasi dan keganasan yang berbahaya ini tidak akan melemahkan semangat kami," kata Leavitt.
Ahli Kongres Republikan Elise Stefanik, yang dinamakan sebagai bakal duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, berkata ancaman bom telah dibuat menyasarkan rumahnya di New York.
Dia dimaklumkan tentang ancaman itu semasa memandu bersama suami dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dari Washington ke Saratoga County. Polis telah bertindak segera dengan profesionalisme tertinggi, katanya.
-- BERNAMA
#FBI #siasatan #ancaman #calon kabinet #Donald Trump
;