FBI perbaharui tawaran 1 juta dolar kepada pemberi maklumat mengenai wartawan Austin Tice
Agensi
Disember 9, 2024 08:00 MYT
Disember 9, 2024 08:00 MYT
WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) masih menawarkan ganjaran sehingga AS$1 juta (RM4.4 juta) untuk maklumat yang boleh membawa wartawan Austin Tice kembali ke pangkuan keluarganya susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Syria.
"Memandangkan peristiwa baru-baru ini di Syria, FBI memperbaharui panggilan kami untuk maklumat yang boleh membawa kepada lokasi selamat, pemulihan dan kepulangan Austin Bennett Tice, yang ditahan di Damsyik pada Ogos 2012," kata FBI dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Terdahulu, Presiden AS, Joe Biden turut menyentuh mengenai Tice semasa menyampaikan ucapan kepada seluruh negara mengenai kejatuhan rejim Assad.
“Kami sedia maklum terdapat sejumlah rakyat Amerika di Syria, termasuk mereka yang tinggal di sana… serta Austin Tice yang telah ditawan lebih 12 tahun lalu.
“Kami tetap komited untuk mengembalikannya kepada keluarganya,” kata Biden. - Agensi