Fasiliti kesihatan di Gaza berfungsi dengan baik, meskipun masih diuji COVID-19 - ICRC

Faris Danial Razi
Mei 17, 2021 17:23 MYT
ICRC memberi sokongan penuh dengan menyediakan kelengkapan perubatan, pengusung dan penyediaan bilik kecemasan di hospital terbesar di Gaza, iaitu Hospital Al Shifa. - REUTERS
SEMUA fasiliti kesihatan di Semenanjung Gaza masih berfungsi dengan baik, di sebalik serangan udara berterusan yang dilancarkam rejim Zionis ke wilayah itu.
Perkara berkenaan dimaklumkan Jurucakap Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di Gaza, Suhair Zakkout dalam satu temubual dengan Astro AWANI.
“Fasiliti kesihatan di sini masih lagi terkawal, dengan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) terus giat memindahkan mangsa yang cedera ke hospital.
“ICRC semalam memberi sokongan penuh dengan menyediakan kelengkapan perubatan, pengusung dan penyediaan bilik kecemasan di hospital terbesar di Gaza, iaitu Hospital Al Shifa.
“Kelengkapan perubatan ketika ini masih lagi mencukupi bagi merawat pesakit yang cedera parah. Pergerakan kami di ICRC adalah terhad ketika ini, kerana keganasan yang berterusan di Gaza.
“Namun, kami berharap supaya pergolakan ini dapat kembali reda supaya kami di ICRC dapat mengakses memberikan bantuan kepada yang memerlukan,” jelasnya.
Bantuan Kemanusiaan | Pergolakan berterusan jadi cabaran utama - ICRC
Sementara itu, Suhair memaklumkan lebih banyak misi bantuan kemanusiaan dikerahkan ke Gaza bagi meningkatkan kapasiti sistem kesihatan di wilayah berkenaan, yang masih berdepan tekanan akibat COVID-19 tatkala bertahan dek serangan udara Israel.
Bagaimanapun eganasan yang tidak berhenti menjadi cabaran utama kepada organisasi kemanusiaan yang beroperasi di wilayah bergolak itu.
“Cabaran utama kami di ICRC adalah pertempuran yang berterusan. Jadi, jika pergolakan ini mungkin dapat kembali reda tidak lama lagi, maka misi bantuan kemanusiaan termasuk ICRC dapat turun ke lapangan dan menghulurkan bantuan kepada mereka.
“Buat masa ini, ICRC bersedia di setiap hospital dan pusat rawatan kecemasan, supaya kami dapat terus bertindak jika ada sebarang keadaan yang mendesak akan berlaku,” ujar Suhail lagi.
Pasukan Kesihatan | Gaza diuji COVID-19, mangsa cedera akibat serangan
#perubatan #Zionis #COVID-19 #rejim Zionis #Israel #Gaza #kesihatan #keganasan #serangan #ICRC #fasiliti kesihatan
;