FARC dikeluarkan daripada senarai pengganas

Astro Awani
Disember 1, 2021 08:41 MYT
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres tiba di istana presiden di Bogota, Colombia, 24 Nov 2021. Guterres berada di Colombia untuk menghadiri ulang tahun ke-5 perjanjian damai antara kerajaan dan FARC. (Foto AP)
PENTADBIRAN Presiden Joe Biden pada Selasa secara rasmi mengeluarkan tentera revolusi bersenjata Colombia, FARC daripada senarai pengganas.
Namun label itu kekal ke atas komander dan anggotanya yang masih enggan meletak senjata.
Tindakan menarik semula gelaran ini dibuat lima tahun selepas FARC menandatangani perjanjian damai.
Ia bertujuan menamatkan pertempuran selama setengah abad.
FARC yang kini menubuhkan parti politik Comunes, mengalu-alukan keputusan Amerika.
"Kami mengalu-alukan keputusan AS untuk mengeluarkan FARC daripada senarai pengganas. Keputusan ini konsisten dengan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama ketika perjanjian damai dicapai di Havana.
"Ia mewakili kemungkinan ekonomi dan proses integrasi politik diperkukuh. Kerjasama juga boleh dijalankan tanpa sekatan ekonomi," kata Ahli Kongres Parti Comunes Julián Gallo Cubillos di Bogota.
Kerajaan Colombia mendakwa lebih 220,000 jadi mangsa dalam keganasan yang dibiayai dari keuntungan penyeludupan dadah.
Penyenaraian FARC dalam senarai pengganas, menjadi penghalang kepada agensi Amerika untuk membantu projek pembangunan di Colombia.
Ini termasuk usaha menghapuskan periuk api dan menggantikannya dengan tanaman lain seperti koko.
#FARC #pengganas #Joe Biden #Colombia
;