Falcon 9 lengkapkan misi ke-300, lancar satelit komunikasi Indonesia ke orbit - SpaceX

Bernama
Februari 21, 2024 12:39 MYT
Roket Falcon 9 berjaya melaksanakan misi ke-300 dengan membawa satelit komunikasi Telkom Indonesia ke orbit. -Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Roket Falcon 9 berjaya melaksanakan misi ke-300 dengan membawa satelit komunikasi Telkom Indonesia ke orbit, umum SpaceX pada Selasa, lapor Sputnik.
"Falcon 9 melengkapkan misi ke-300 yang berjaya," kata syarikat angkasa lepas swasta yang diasaskan dan dimiliki oleh Elon Musk.
Menurut Spacex, satelit itu dilancarkan dari Kompleks Pelancaran Angkasa 40 (SLC-40) di Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida dan ia merupakan pelancaran ke-17 bagi penggalak Falcon9 peringkat pertama yang boleh diguna semula.
Merah Putih-2 adalah satelit komunikasi Indonesia keempat yang dilancarkan oleh SpaceX dan dioperasikan oleh Telkom Indonesia yang berpusat di Bandung, lapor AmericaSpace.com.
Ia adalah pelancaran Falcon 9 yang keenam pada bulan ini.
-- BERNAMA
#Elon Musk #SpaceX #Falcon 9 #misi ke-300 #satelit komunikasi Telkom Indonesia
;