Facebook tarik semula sekatan terhadap Australia

Agensi
Februari 23, 2021 20:06 MYT
Sebelum ini, Facebook menyekat pengguna Australia daripada mengakses dan berkongsi berita minggu lalu setelah dewan perwakilan meluluskan draf undang-undang pada Rabu. - Reuters
FACEBOOK bersetuju untuk menarik semula sekatan terhadap rakyat Australia daripada berkongsi atau membaca kandungan berita di platformnya.
Menurut kerajaan Australia, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju membuat pindaan undang-undang berkaitan kandungan kewartawanan.
Bendahari Australia, Josh Frydenberg dan Facebook mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan mengenai pindaan undang-undang yang diusulkan yang akan menjadikan rangkaian sosial dan Google membayar berita yang mereka tampilkan.
BACA: Facebook sekat pengguna Australia kongsi berita
Sebelum ini, Facebook menyekat pengguna Australia daripada mengakses dan berkongsi berita minggu lalu setelah Dewan Perwakilan meluluskan draf undang-undang pada Rabu lalu.
Google telah mendaftar syarikat media terbesar di Australia dalam perjanjian pelesenan kandungan melalui model News Showcase.
Platform itu bersetuju dengan penerbitan lebih daripada 50 judul Australia melalui News Showcase dan lebih daripada 500 penerbit di seluruh dunia menggunakan model yang dilancarkan pada bulan Oktober.
Facebook mengatakan ia kini akan merundingkan perjanjian dengan penerbit Australia berdasarkan modelnya sendiri, Facebook News.
#Facebook #Australia #kerajaan #rakyat #undang-undang #news #model #Google #Media #Kandungan berita #perkongsian berita #platform #Rang Undang-Undang
;