Facebook sekat pengguna Australia kongsi berita
Astro Awani
Februari 18, 2021 08:21 MYT
Februari 18, 2021 08:21 MYT
FACEBOOK akan menyekat pengguna di Australia daripada berkongsi atau membaca kandungan berita di platformnya.
Ini selepas Australia ingin gergasi teknologi seperti Google dan Facebook untuk membayar kandungan yang dikeluarkan syarikat berita ini.
Facebook dalam satu kenyataan menjelaskan, ia akan turut menyekat pengguna di Australia daripada berkongsi dan membaca kandungan berita antarabangsa di atas platformnya.
Tambahnya, terdapat salah faham dalam undang-undang yang diusulkan di Australia tentang hubungan platform tersebut dan penerbit berita yang berkongsi kandungan mereka.
Facebook menjelaskan, ia berdepan dua pilihan iaitu patuh kepada undang undang berkenaan seperti yang dilakukan Google, untuk membayar kandungan berita yang dikongsi di platformnya, atau menyekat semua kandungan berita di Australia.
Ia membuat keputusan untuk menyekat semua kandungan berita di platformnya di Australia.
Menurutnya, operasi Facebook dan Google adalah berbeza dan Facebook percaya, perkongsian bahan berita ini meningkatkan lagi langganan berita dan meluaskan capaian pembaca serta hasil pengiklanan.
Tambahnya, ia telah berkongsi maklumat tersebut dengan kerajaan Australia dan hubungan Facebook serta penerbit berita telah memberi manfaat kepada organisasi berita.
Tegasnya, ia mendapat hasil yang rendah daripada kandungan berita dan ia hanya mewakili empat peratus daripada kemaskini yang dilihat pengguna.
Susulan daripada keputusan berkenaan, Facebook menjelaskan, pengguna antarabangsa boleh terus berkongsi dan menerbitkan kandungan berita di platform Facebook namun ia tidak boleh diakses di Australia.
BBC menyatakan keputusan ini dijangka akan memberikan peluang kepada kerajaan di negara lain untuk mengkaji semula platform tersebut dan mungkin mengikut undang-undang yang ada di Australia.