Facebook mohon maaf, salahkan 'perubahan konfigurasi'
Agensi
Mac 16, 2019 15:04 MYT
Mac 16, 2019 15:04 MYT
Facebook menyalahkan ‘perubahan konfigurasi pelayan’ sebagai punca gangguan besar-besaran hingga menjejaskan aplikasinya di seluruh dunia, semalam.
Agensi berita melaporkan, gangguan itu menjejaskan pengguna sekurang-kurangnya 12 jam di kebanyakan kawasan di dunia, menyaksikan Amerika Utara dan Eropah paling terjejas, menurut laman web pengesan downdetector.com.
Selepas mengakui berdepan masalah Rabu lalu, Facebook 'berdiam diri' hampir 24 jam sebelum mengeluarkan penjelasan dan permohonan maaf sekitar jam 4.30 petang (waktu tempatan).
“Semalam, akibat perubahan konfigurasi pelayan, ramai pengguna berdepan masalah mengakses aplikasi dan perkhidmatan kami,” kata Facebook di Twitter.
“Kami kini berjaya menyelesaikan masalah dan sistem kami kembali pulih. Kami amat kesal di atas kesulitan itu dan menghargai kesabaran anda semua.”
Difahamkan ia gangguan paling teruk pernah dialami gergasi internet yang diakses kira-kira 2.7 bilion pengguna termasuk rangkaian sosial utamanya, Instagram dan aplikasi pesanan.
Seperti gangguan sebelumnya, #FacebookDown dengan pantas menjadi tanda pagar popular di platform saingan, Twitter.
Rabu lalu, Facebook menolak spekulasi bahawa masalah itu mungkin disebabkan oleh serangan denial-of-service, sejenis serangan siber yang membanjiri hos perkhidmatan dengan permintaan yang berlebihan.