Facebook mencatat 1.49 bilion pengguna, pendapatan meningkat

Kohilah Sekaran
Julai 31, 2015 09:25 MYT
Rangkaian sosial dalam talian yang terbesar di dunia, Facebook mengatasi jangkaan dalam semua bidang bagi suku tahun kedua 2015. - Gambar Fail
RANGKAIAN sosial dalam talian yang terbesar di dunia mengatasi jangkaan dalam semua bidang bagi suku tahun kedua 2015.
Facebook tidak hanya mengaut keuntungan yang tinggi, malah jumlah pengguna dan pengiklanan mudah alih, serta penggunaan aplikasi 'keluarganya' iaitu Instagram, Messenger dan WhatsApp turut meningkat.
Walaupun begitu, harga sahamnya merosot selepas laporan suku tahunan itu dikeluarkan, kerana perbelanjaan meningkat 82 peratus.
Menurut pengasas Facebook, Mark Zuckerberg secara purata, sebanyak 1.31 bilion pengguna media sosial menggunakan aplikasi itu dari peranti mudah alih - sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi suku tahun kedua.
Angka itu menandakan peningkatan sebanyak 23 peratus daripada tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, Facebook sekarang memiliki 1. 49 bilion pengguna aktif bulanan, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus.
Malah, applikasi itu juga dilapor memiliki 968 juta pengguna aktif harian secara keseluruhan dan 844 juta pada peranti mudah alih.
Mark Zuckerberg menyatakan bahawa komunikasi kini menjadi unsur penting dalam kalangan masyarakat.
“1.49 bilion rakyat kini sebahagian daripada masyarakat kita. Pada tahun 1876, iaitu tahun pertama panggilan telefon mula dicipta kira-kira 1.49 dilapor hidup.
“Dengan setiap generasi, dunia semakin rapat antara satu sama lain. Satu hari nanti, masyarakat kita akan berkomunikasi dengan semua orang.
“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada misi kita dan masyarakat kita,” tulis Zuckerberg melalui akaun Facebooknya.
Gambar yang diperoleh dari Facebook
Beliau juga telah memuat naik carta laporan di laman Facebooknya.
Difahamkan, laporan Twitter membimbangkan pelabur dengan pertumbuhan pengguna yang terbantut dan setakat ini, applikasi itu menyaksikan penurunan harga saham ke tahap terendah dalam jangkamasa lebih setahun.
#Facebook #laporan #Mark Zuckerberg #pendapatan
;