Facebook haramkan empat kumpulan pemberontak Myanmar

Astro Awani
Februari 6, 2019 09:58 MYT
Facebook mendakwa empat kumpulan terbabit menyebarkan mesej berunsur keganasan di platform mereka.
Facebook mengenakan sekatan terhadap empat kumpulan pemberontak yang berjuang menentang tentera Myanmar, menegaskan syarikat itu tidak mahu sebarang kerosakan yang mungkin dilakukan oleh organisasi yang dilabel sebagai "berbahaya."
Gergasi media sosial Amerika Syarikat itu berkata pada Selasa, ia telah memadam ratusan akaun, laman dan kumpulan yang dikaitkan dengan tentera Myanmar, atau wakilnya, sejak Ogos lalu.
Facebook mendakwa kumpulan terbabit - Arakan Army, Myanmar National Democratic Alliance Army, Kachin Independence Army dan Ta’Ang National Liberation Army - menyebarkan mesej berunsur keganasan di platform mereka.
Menurutnya, ia akan memadam dan membuang semua status yang "memuji, menyokong dan mewakili" kumpulan-kumpulan itu.
Facebook bertindak demikian selepas dikritik pelbagai pihak kerana tidak mengambil tindakan sebaiknya dalam mencegah kandungan yang menyebarkan kebencian dan keganasan, terutamanya terhadap kaum Rohingya.
BACA: Pihak berkuasa Thai hentikan forum kontroversi mengenai Jeneral Myanmar
BACA: Laporan Rohingya: Enam jeneral perlu disiasat - PBB
Menurut laporan media, empat kumpulan yang dinamakan oleh Facebook itu tidak pernah menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan kerajaan dan sering bertempur dengan pasukan tentera pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Pada Ogos 2018, Facebook mengumumkan akaun milik beberapa pegawai tentera Myanmar dan individu berpengaruh dari rangkaian media sosial itu telah dipadam bagi mengekang penyebaran kandungan berunsur 'kebencian dan salah maklumat'.
#Arakan Army #Facebook #keganasan #Myanmar #pemberontak #Rohingya
;