Facebook, Google rancang bina kabel dasar laut hubungkan Asia Tenggara dan Amerika
Agensi
Mac 29, 2021 14:37 MYT
Mac 29, 2021 14:37 MYT
SINGAPURA: Facebook pada Isnin mengumumkan tentang perancangannya memasang dua kabel dasar laut baharu untuk menghubungkan Singapura, Indonesia dan Amerika Utara dalam satu projek bersama Google dan syarikat telekomunikasi serantau.
Reuters melaporkan, perancangan itu diharapkan dapat meningkatkan keupayaan sambungan internet antara rantau terlibat.
"Dinamakan Echo dan Bifrost, ia bakal menjadi dua kabel pertama yang dipasang merentangi laluan baharu merentas Laut Jawa dan itu akan meningkatkan kapasiti keseluruhan sambungan internet Trans-Pasifik sehingga 70 peratus,” ujar Naib Presiden bagi Pelaburan Jaringan Facebook, Kevin Salvadori.
Kabel itu, menurut Salvadori, akan menjadi yang pertama seumpamanya yang menghubungkan Amerika Utara dengan beberapa kawasan utama Indonesia, dan akan meningkatkan ketersambungan internet bagi wilayah tengah dan timur negara itu.
Salvadori berkata, Echo dibina dengan usahasama Google dan syarikat telekomunikasi Indonesia XL Axiata dan dijadualkan siap pada tahun 2023.
Bifrost pula, yang dibangunkan bersama Telin, iaitu anak syarikat Telkomsel, bersama konglomerat Singapura, Keppel. Ia dijangka siap pada tahun 2024.
Kedua-dua kabel itu, yang memerlukan kelulusan undang-undang, merupakan susulan beberapa pelaburan Facebook sebelum ini untuk meningkatkan ketersambungan di Indonesia.
Indonesia merupakan salah satu daripada lima pasaran global terbesar Facebook.
Sebanyak 73 peratus daripada populasi Indonesia yang berjumlah 270 juta terhubung dengan akses internet. Majoritinya mengakses web menerusi data peranti mudah alih, dan kurang daripada 10 peratus menggunakan sambungan jalur lebar, menurut kaji selidik Persatuan Pembekal Internet Indonesia pada tahun 2020.
Begitupun, kawasan yang tidak mendapat liputan internet masih luas di Indonesia.
Tahun lalu, Facebook menyatakan bakal membina kabel fiber sepanjang 3,000 kilometer di Indonesia merentasi 20 bandar sebagai usaha tambahan membangunkan kemudahan hotspot WiFi untuk diakses orang ramai sebelum ini.