FAA AS tangguh penerbangan ke New York, Philadelphia susulan kebakaran hutan di Kanada

Bernama
Jun 8, 2023 22:32 MYT
Keadaan langit di New York yang berjerebu dan kemerah-merahan berikutan bencana kebakaran hutan di Kanada. - AP
WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat pada Khamis, menangguhkan sementara penerbangan ke Philadelphia dan beberapa penerbangan ke New York kerana jarak penglihatan terhad disebabkan asap daripada kebakaran hutan di Kanada, lapor Sputnik.
"Kami telah menangguhkan penerbangan dari Northeast, Ohio dan Mid-Atlantic menuju (LaGuardia Airport)," menurut FAA di Twitter.
Selain itu, pelepasan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia juga dibatalkan.
"Penglihatan terhad akibat asap daripada kebakaran akan terus memberi kesan kepada perjalanan udara hari ini. Kami perlu mengambil langkah untuk menguruskan aliran trafik dengan selamat ke New York City, DC, Philadelphia dan Charlotte," menurut FAA.
Pada Rabu, FAA menasihatkan pengembara udara menjangkakan kelewatan untuk ketibaan dan pelepasan.
Menurut Kementerian Kesiapsiagaan Kecemasan Kanada, pada masa ini terdapat lebih 410 kebakaran hutan masih berlaku yang telah memusnahkan hutan di wilayah British Columbia sehingga ke Nova Scotia.
Kepulan asap telah menjejaskan kualiti udara lebih 100 juta penduduk di 18 negeri di AS.
-- BERNAMA
#kebakaran hutan #Kanada #penerbangan #New York
;