F1 setuju had perbelanjaan ASD145 juta pada 2021

Astro Awani
Mei 5, 2020 08:07 MYT
10 perlumbaan awal F1 ditangguh atau dibatalkan gara-gara pandemik COVID-19. - Gambar Hiasan
FORMULA One (F1) menetapkan had perbelanjaan pasukan kepada ASD145 juta bagi tahun hadapan.
Pengarah urusan sukan permotoran F1 Ross Brawn memaklumkan, perkara itu dipersetujui dalam satu telesidang yang melibatkan semua pasukan dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
“Mereka juga bersetuju untuk memperketatkan lagi perbelanjaan untuk musim akan datang.
"Penetapan had perbelanjaan bertujuan mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pasukan. Ia juga mengambil kira kelestarian ekonomi dalam keadaan sukar ketika ini,” katanya.
Sebelum ini, had perbelanjaan yang ditetapkan adalah ASD175 juta. Penetapan had itu bagaimanapun tidak melibatkan gaji pemandu.
Perlumbaan F1 musim ini juga masih belum bermula.
10 perlumbaan awal pula ditangguh atau dibatalkan gara-gara pandemik COVID-19.
Sebelum ini, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Chase Carey, telah menjelaskan perancangan 15 hingga 18 perlumbaan bagi kalendar 2020 akan dilanjutkan sehingga Disember depan.
Azerbaijan menjadi saingan terbaru yang ditangguhkan dan mengikut jadual asal, perlumbaan di Kanada bakal menjadi destinasi seterusnya yang dijadualkan pada 14 Jun depan.
#CEO #COVID-19 #ekonomi #F1 #FIA
;