F1 mahu dua perlumbaan di GP China berlangsung musim ini

Astro Awani
Jun 16, 2020 10:15 MYT
Grand Prix China yang sepatutnya berlangsung pada 19 April ditunda pada Februari lalu susulan penularan COVID-19. - Gambar Hiasan
PENGURUSAN Formula One mahu dua perlumbaan diadakan di Shanghai pada musim ini selepas Grand Prix (GP) China terpaksa ditunda disebabkan penularan COVID-19.
Kejuaraan dunia ini dijangka kembali bermula di Austria pada 5 dan 12 Julai, disusuli di Silverstone, England dengan dua perlumbaan.
GP China yang sepatutnya berlangsung pada 19 April, ditunda pada Februari lalu.
Namun, Formula One tekad mahu mengadakan perlumbaan itu di China sebelum hujung tahun ini.
Ditanya sama ada akan diadakan dua GP di Shanghai berbanding satu seperti kebiasaan, pengarah biro sukan Shanghai, Xu Bin berkata: “Ini yang dicadangkan oleh pengurusan syarikat F1."
Sebelum ini, Formula One turut mengumumkan akan melangsungkan kembali lapan perlumbaan di Eropah, namun tiada satu pun perlumbaan akan diadakan di Asia.
Namun, GP China masih belum mendapat kata putus berkenaan perlumbaan itu.
“Kami masih berhubung dengan F1 untuk melihat jika boleh dijalankan dua perlumbaan di Shanghai, tetapi belum ada keputusan muktamad buat waktu ini.
"Sudah tentu dalam masa sama kita mahu pastikan virus COVID-19 boleh dikawal penularannya," tambah Xi.
GP Singapura, Jepun dan Azerbaijan dibatalkan pada Jumaat susulan masalah logistik disebabkan COVID-19.
#Asia #China #COVID-19 #dua perlawanan #F1 #GP #Grand Prix #lumba kereta #Shanghai #Singapura #tangguh #tunda #Xu Bin
;