Evo Morales menang untuk penggal ketiga

AFP
Oktober 13, 2014 05:09 MYT
Evo Morales
Presiden Bolivia, Evo Morales mengekalkan kedudukannya untuk penggal yang ketiga dengan lebih 60 peratus undi berdasarkan tinjauan yang sekaligus mengukuhkan mandatnya untuk terus melaksanakan agenda reformasi haluan kirinya.
Morales, presiden pertama negara itu dari kalangan masyarakat pribumi mendahului pesaing terdekatnya, jutawan simen, Samuel Doria Medina, kata agensi tinjauan pendapat Ipsos dan Equipos Mori.
Ribuan warga Bolivia turun ke jalan raya di La Paz untuk merayakan kejayaan itu selepas keputusan awal diumumkan. Mereka berhimpun di perkarangan istana presiden untuk mendengar ucapan kemenangan Morales.
"Ini adalah kemenangan kumpulan anti penjajah dan anti imperialis," kata Morales yang menempatkan dirinya sebagai sekutu Cuba, Venezuela dan Iran serta mempunyai hubungan tegang dengan Amerika Syarikat.
Beliau mendedikasikan kemenangannya kepada pemimpin Cuba, Fidel Castro; mendiang presiden Venezuela, Hugo Chavez dan semua pemimpin "anti kolonialis dan anti imperialis".
Morales yang mendaki tangga kuasa selepas muncul sebagai pemimpin kesatuan sekerja yang memperjuangkan hak penanam koka. Sejak mula jadi presiden pada 2006, beliau melaksanakan banyak perubahan besar.
Kerajaannya menjadikan beberapa sektor termasuk minyak, gas, perlombongan, telekomunikasi dan air sebagai milik negara. Beliau juga memberikan banyak bantuan kebajikan kepada warga emas, wanita dan kanak-kanak serta kumpulan terpinggir khususnya masyarakat Orang Asal yang merupakan 65 peratus penduduk.
#Bolivia #Evo Morales