Evia dikepung dua kebakaran hutan besar

Astro Awani
Ogos 9, 2021 08:22 MYT
17 jentera pemadam kebakaran merangkumi pesawat dan helikopter dikerah memadamkan kebakaran di Evia. - Foto REUTERS/Nikolas Economou
PEFKI: Ratusan anggota bomba berhempas pulas memadamkan kebakaran belukar di pulau Evia, Greece apabila api makin marak dan merebak.
Malah, hutan pokok pine hampir lenyap manakala banyak rumah musnah sehingga memaksa pelancong dan penduduk tempatan bertindak menyelamatkan diri.
Timbalan Menteri Perlindungan Awam, Nikos Hardalias, berkata beberapa hari akan datang bakal menjadi bertambah sukar jika kebakaran tidak ditangani segera.
Menurutnya, di Evia, mereka berdepan dua kebakaran besar, satu di utara, yang ditolak tiupan angin ke penempatan di tepi pantai, manakala satu lagi di selatan.
Justeru itu katanya, secara keseluruhan, sebanyak 17 jentera pemadam kebakaran merangkumi pesawat dan helikopter dikerah memadamkan kebakaran di Evia, yang terletak di timur laut ibu kota Athens.
Menurut beliau, kawasan sebelah barat daya iaitu wilayah Peloponnese, turut mengalami kebakaran tetapi kini keadaan sudah terkawal dan stabil.
Kebakaran di kawasan pinggir utara Athens sudah reda manakala keadaan di Attica, yang meliputi Athens, lebih baik tetapi masih wujud kebimbangan api akan meletus semua.
Minggu lalu, pasukan penyelamat mengerahkan helikopter untuk membawa keluar anggota bomba yang cedera dari Gunung Parnitha, kawasan hutan tebal di utara Athens yang terbakar sejak minggu sebelumnya.
#kebakaran #hutan #Greece #Athens #bomba
;