Euro 2020: Azpilicueta label Insigne, Jorginho ancaman terbesar buat Sepanyol
Astro Arena
Julai 5, 2021 08:25 MYT
Julai 5, 2021 08:25 MYT
CESAR AZPILICUETA berkata Sepanyol perlu merantai pergerakan Lorenzo Insigne dan Jorginho seandainya mahu menewaskan Itali dalam separuh akhir Euro 2020 awal pagi Rabu ini.
Itali akan turun dalam perlawanan di Wembley itu sebagai pasukan dengan prestasi terbaik di Eropah selepas merekodkan 32 perlawanan tanpa kalah dan memenangi 13 perlawanan terakhir.
Azzurri menewaskan Turki, Switzerland dan Wales untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A sebelum menewaskan Austria dalam masa tambahan dan Belgium dalam tempoh 90 minit, masing-masing dalam pusingan 16 dan suku akhir.
Penyerang, Insigne, memulakan empat daripada lima perlawanan itu - kecuali pertemuan dengan Wales - manakala Jorginho pula sentiasa berada dalam barisan permulaan Roberto Mancini itu.
Jorginho merupakan pemain yang amat dikenali Azpilicueta, di mana kedua-dua mereka telah bekerjasama membantu Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dan pemain pertahanan itu menyedari kepentingan untuk merantai pergerakan rakan sepasukannya di peringkat kelab itu.
"Kami ada berbual sesama pemain-pemain Chelsea tetapi amat baik untuk bertemunya di atas padang Selasa ini (awal pagi Rabu)," kata Azpilicueta kepada Sky Sport Italia.
"Inilah bola sepak. Adakalanya anda akan menentang rakan sepasukan anda apabila mewakili negara anda. Kami akan memberikan yang terbaik untuk layak ke final.
"Dia sudah pasti pemain yang hebat buat Chelsea dan Itali. Amat penting untuk membataskan penglibatannya. Dia gemar memiliki bola dan mengawal permainan. Dia seorang pemain yang bijak.
"Lebih banyak kami dapat merantai pergerakannya, lebih besar peluang kami untuk menguasai permainan," katanya.
Mengenai Insigne, Azpilicueta menambah: "Dia bukanlah seseorang yang saya kenal secara peribadi tetapi di atas padang, dia amat berbahaya.
"Dia pemain yang hebat, amat teknikal dan laju.
"Dia sentiasa mencari pergerakan satu lawan satu dan sentiasa berkomunikasi dengan rakan sepasukannya.
"Kami perlu bertahan sebagai satu pasukan dan menyerang sebagai satu pasukan.
"Kami menyedari kekuatan Itali di bahagian serangan," katanya.