EU terkejut dengan serangan udara terbaharu Israel di selatan, timur Lubnan

Bernama
November 7, 2024 20:42 MYT
Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, lebih 3,000 orang terkorban dan lebih 13,500 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023. - Reuters
LONDON: Kesatuan Eropah (EU) 'terkejut' dengan serangan udara Israel di timur dan selatan Lubnanpada khamis, yang dilaporkan meragut puluhan nyawa, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan ketua dasar luar blok itu.
Josep Borrell menyuarakan kebimbangan berhubung serangan udara Israel, sambil menekankan bahawa penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah "tidak boleh dirunding."
"Kami sekali lagi menggesa gencatan senjata segera dan pelaksanaan simetri UNSCR (Resolusi Majlis Keselamatan PBB) 1701," katanya di platform X.
Pesawat tempur Israel pada awal pagi Khamis melancarkan beberapa siri serangan udara di seluruh Lubnan, termasuk di kawasan selatan Beirut berhampiran lapangan terbang.
Serangan udara Israel di Lubnan berlangsung sejak akhir September, menyasarkan apa yang didakwa sebagai sasaran Hezbollah, dalam peningkatan ketegangan di sempadan rentas sejak permulaan perang Gaza.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, lebih 3,000 orang terkorban dan lebih 13,500 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023.
Israel melancarkan pencerobohan darat ke Lubnan selatan pada 1 Okt.
-- BERNAMA
#Kesatuan Eropah #EU #serangan Israel #lubnan
;