EU sokong bekukan jualan senjata pada Arab Saudi
Astro Awani
Oktober 29, 2018 09:31 MYT
Oktober 29, 2018 09:31 MYT
Penggubal undang-undang Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis menyokong tindakan pembekuan penjualan senjata kepada Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Undian terhadap resolusi sekatan oleh negara-negara EU ke atas Arab Saudi itu memperoleh 325 undi menyokong, satu menolak, manakala 19 lagi berkecuali.
Resolusi tidak terikat itu juga menuntut agar dihentikan semua eksport sistem pengawasan dan barang-barang yang boleh digunakan Arab Saudi bagi tujuan penindasan.
Negara EU sedang membahaskan sama ada perlu diletakkan halangan ke atas eksport senjata namun masih belum ada desakan untuk melakukannya.
Susulan itu, tekanan mula timbul ke atas EU untuk mempertimbangkan halangan terhadap Arab Saudi itu selepas Jerman, Austria dan Parlimen Eropah turut menyeru perkara sama.
Pada Jumaat, Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan negaranya tidak akan membuat sebarang penghantaran senjata ke Arab Saudi sehingga pembunuhan Khashoggi dijelaskan.
Khashoggi, 59 tahun, kolumnis The Washington Post, dipercayai dibunuh di bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki, pada 2 Okt lalu.
#Arab Saudi
#eksport
#EU
#Jamal Khashoggi
#Jerman
#Kesatuan Eropah
#pembekuan
#Pembunuhan
#penjualan senjata
#senjata
#wartawan