EU setuju luaskan sekatan ke atas Iran
Astro Awani
April 23, 2024 08:30 MYT
April 23, 2024 08:30 MYT
LUXEMBOURG: Kesatuan Eropah (EU) pada dasarnya setuju meluaskan sekatan ke atas Iran, susulan tindakan republik itu melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel.
Menurut Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell, perkara itu dipersetujui mesyuarat Menteri Luar blok tersebut.
EU sebelum ini sudah mengenakan beberapa pusingan sekatan ke atas Iran atas pencabulan hak asasi manusia, isu nuklear dan pembekalan dron kepada Rusia.
Namun beberapa negara anggota mahu ia merangkumi aspek peluru berpandu dan pemindahan kepada tentera proksi.
"Kami bersetuju meluaskan sekatan merangkumi aspek dron, peluru berpandu dan potensi pemindahan kepada Rusia, rejim dron sedia ada, untuk mengenakan sekatan ke atas Iran untuk turut meliputi peluru berpandu.
"Ini termasuk sistem sama yang dikenakan ke atas Rusia, melibatkan penghasilan peluru berpandu. Kedua, meluaskan kawasan geografi rangka kerja ini untuk merangkumi penghantaran dron dan peluru berpandu bukan sahaja kepada Rusia tetapi kepada seluruh rantau asia barat dan laut merah.
"Ketiga untuk meluaskan senarai komponen dron yang dilarang," katanya.
Mesyuarat sama turut menyentuh isu bantuan ketenteraan kepada Ukraine.