EU sekat penjualan mikroplastik
Bernama
September 25, 2023 22:04 MYT
September 25, 2023 22:04 MYT
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah sekat penjualan mikroplastik dan produk yang secara sengaja mengeluarkan mikroplastik semasa digunakan, menurut kenyataan suruhanjaya itu pada Isnin.
Peraturan baharu itu bertujuan untuk membantu mencegah pelepasan setengah juta tan mikroplastik yang dilepaskan ke alam sekitar, lapor Agensi Berita (dpa).
Menurut kenyataan itu, kira-kira 42,000 tan mikroplastik terdapat dalam produk dilepaskan ke alam sekitar di Kesatuan Eropah setiap tahun.
"Mengharamkan mikroplastik yang ditambah secara sengaja dapat menangani kebimbangan serius terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Mikroplastik ditemukan di laut, sungai dan di darat, serta dalam makanan dan air minuman," kata Pesuruhjaya Alam Sekitar EU Virginijus Sinkevicius.
"Larangan hari ini melibatkan zarah yang sangat kecil, tetapi ia adalah langkah besar ke arah mengurangkan pencemaran buatan manusia," tambahnya.
Perundangan itu meliputi semua zarah polimer sintetik di bawah lima milimeter yang bersifat organik, tidak larut dan tahan degradasi.
Ini termasuk bahan berbutir yang digunakan, contohnya sebagai pengisi pada rumput tiruan, dalam kosmetik, detergen, mainan, bahan perlindungan tumbuhan atau peranti perubatan.
Beberapa langkah, seperti larangan pada loose glitter akan dikenakan dalam tempoh 20 hari, manakala sekatan lain akan berkuat kuasa selepas tempoh peralihan.
--BERNAMA-dpa