EU sekali lagi tingkatkan kebergantungan kepada baja Rusia - Eurostat

Bernama
Mac 3, 2025 17:13 MYT
Sejak sekatan terhadap Rusia dikenakan, negara-negara EU telah mengurangkan import baja Rusia dengan ketara. - Reuters
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) yang sebelum ini mengurangkan import baja dari Rusia selama dua tahun, kini kembali meningkatkan kebergantungan terhadapnya, dengan jumlah import tahun lepas melonjak ke paras tertinggi sejak 2021, menurut analisis RIA Novosti berdasarkan data Eurostat.
Sejak sekatan terhadap Rusia dikenakan, negara-negara EU telah mengurangkan import baja Rusia dengan ketara, berkurang 20.5 peratus pada 2022 dan susut lagi 8.2 peratus pada 2023. Ini menjadikan jumlah pembelian pada 2023 berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, iaitu hanya 3.9 juta tan.
Bagaimanapun, berlaku perubahan mendadak dalam pembelian EU apabila import baja dari Rusia meningkat satu perempat daripada jumlah sebelumnya, hampir sepenuhnya mengimbangi penurunan selama dua tahun. Secara keseluruhan, sebanyak 4.93 juta tan baja diimport sepanjang tahun lepas, berbanding 5.37 juta tan pada 2021.
Pada masa yang sama, bukan sahaja jumlah pembelian meningkat, malah bahagian baja Rusia dalam jumlah import keseluruhan EU turut bertambah. Jika sebelum ini bahagiannya sekitar 23.5 peratus pada 2022 dan 2023, ia meningkat kepada 27.4 peratus pada 2024.
Faktor utama yang mendorong negara-negara EU menghentikan dasar pengurangan import baja dari Rusia ialah harga gas yang tinggi bagi pengeluar tempatan.
Import berterusan ini, dalam keadaan pengeluaran tempatan yang semakin merosot, mungkin juga berkait dengan pengurangan jumlah ladang di EU. Menurut data terkini, jumlah ladang di EU pada 2020 adalah 9.1 juta berbanding 10.5 juta pada 2016. Pada masa yang sama, hasil pertanian mencatatkan penurunan untuk tahun kedua berturut-turut menjelang 2024.
-- BERNAMA
#Kesatuan Eropah #import baja #Rusia #sekatan #EU
;