EU salur AS$70.9 juta untuk tangani krisis Rohingya
Bernama
Mac 3, 2025 05:00 MYT
Mac 3, 2025 05:00 MYT
Dana itu akan diguna untuk membantu komuniti tuan rumah di Bangladesh serta penduduk yang terjejas akibat keganasan di Rakhine, Myanmar. - Gambar fail Bernama
DHAKA: Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan EUR68 juta (AS$70.9 juta) tahun ini bagi menangani krisis Rohingya, umum kerajaan peralihan Bangladesh pada Isnin.
Menurut Anadolu Ajansi, dana itu akan digunakan untuk membantu komuniti tuan rumah di Bangladesh serta penduduk yang terjejas akibat keganasan di negeri Rakhine, Myanmar, menurut kenyataan kerajaan selepas Ketua Kerajaan Peralihan, Muhammad Yunus bertemu dengan Pesuruhjaya EU Hadja Lahbib yang sedang dalam lawatan ke Dhaka, pada Isnin.
Pengumuman bantuan kewangan itu dibuat ketika krisis pembiayaan semakin meruncing bagi masyarakat Rohingya yang tertindas.
Pesuruhjaya EU bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis itu berkata, walaupun jumlah itu melebihi sumbangan awal EU tahun lepas, ia masih tidak mencukupi untuk mengelakkan kemerosotan ketara situasi kemanusiaan di kem-kem penempatan.
Bangladesh kini menampung lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di Daerah Cox's Bazar, tenggara negara itu, sejak mereka melarikan diri daripada tindakan tentera Myanmar pada 2017.
Yunus menegaskan komitmen kerajaannya untuk menangani krisis kemanusiaan Rohingya, menyifatkannya sebagai "isu besar" bagi Bangladesh.
"Ia telah berlarutan selama beberapa tahun tanpa penyelesaian," katanya.
"Setiausaha Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) akan datang. Kami sedang berusaha menarik perhatian antarabangsa terhadap krisis Rohingya," kata Yunus.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dijadual melawat Bangladesh dari 13 hingga 16 Mac.
Sementara itu, Penyelaras Residen PBB di Bangladesh Gwyn Lewis turut menyuarakan kebimbangan mengenai krisis pembiayaan Rohingya ketika bertemu Yunus pada Ahad. - BERNAMA