EU, PBB gesa Israel benarkan lebih banyak bantuan ke Gaza

Astro Awani
Mac 21, 2024 09:30 MYT
Pertempuran di kawasan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 32,000 rakyat Palestin terkorban. - Foto AP
KESATUAN Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara bersama menggesa Israel membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.
Mesej tegas itu disampaikan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Rabu.
Ini susulan situasi di Gaza bertambah buruk dengan lebih daripada separuh penduduk menghadapi krisis kebuluran.
"Kami amat mengambil berat tentang perang di Gaza dan situasi bencana kemanusiaan yang sedang berlaku. Gaza sedang menghadapi kebuluran. Ini tidak boleh diterima.
"Adalah penting untuk mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata dengan pantas sekarang, membebaskan tebusan dan membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan untuk sampai ke Gaza," katanya.
Hampir setiap penduduk Gaza bergelut untuk mendapatkan makanan yang mencukupi dan 1.1 juta orang menghadapi tahap kebuluran yang kritikal.
Agensi makanan PBB telah memberi amaran bahawa "kebuluran akan berlaku" di utara Gaza.
Guterres turut menggesa untuk melakukan segala usaha bagi menghentikan pembunuhan rakyat Palestin dan mencapai gencatan senjata kemanusiaan serta-merta.
Pertempuran di kawasan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 32,000 rakyat Palestin terkorban.
#Gaza #kebuluran #Israel #bantuan kemanusiaan
;