EU, NATO sokong Ukraine hadapi Rusia

Astro Awani
Ogos 24, 2022 10:00 MYT
Ursula von der Leyen berkata, pihaknya tidak akan mengiktiraf pencerobohan haram ke atas Crimea dan Sevastopol oleh Rusia. - Gambar fail/AP
KESATUAN Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengesahkan sokongan mereka kepada Ukraine, pada Selasa.
EU dan NATO turut tidak mengiktiraf pencerobohan Rusia terhadap Semenanjung Crimea.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata, pihaknya tidak akan mengiktiraf pencerobohan haram ke atas Crimea dan Sevastopol oleh Rusia.
EU, katanya, akan berusaha sebaik mungkin dengan kerajaan Ukraine dan rakan kongsinya untuk mendedahkan pelanggaran tersebut serta memastikan Rusia bertanggungjawab.
Sementara itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg mengulangi sokongan berterusan pakatan tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap negara yang dilanda konflik itu.
Katanya, sokongan NATO terhadap Ukraine akan berterusan selama mana diperlukan.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel mengecam penggunaan Crimea oleh Rusia dalam perang yang sedang berlaku dan peranan semenanjung itu dalam sekatan eksport bijirin.
Jelasnya, Rusia menggunakan Crimea sebagai batu loncatan strategik untuk menyerang semua bahagian Ukraine dari selatan.
Beliau berkata semenanjung itu juga digunakan sebagai tempat transit untuk menghantar pulang warga Ukraine melalui kem penapisan yang terkenal dengan aktiviti penyeksaan dan penderaan.
#EU #NATO #konflik Rusia-Ukraine #Ursula von der Leyen
;