EU mula gantung sekatan ekonomi terhadap Syria

Bernama
Februari 24, 2025 23:36 MYT
Beberapa langkah sekatan dalam sektor tenaga, pengangkutan dan perbankan akan ditarik balik bagi menyokong pemulihan ekonomi yang pesat. - AP
BRUSSELS: Menteri luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin memutuskan untuk memulakan penggantungan sekatan terhadap Syria susulan kejatuhan pemerintah lama negara itu, Bashar al-Assad, lapor agensi berita Jerman dpa.
Beberapa langkah sekatan dalam sektor tenaga, pengangkutan dan perbankan akan ditarik balik bagi menyokong pemulihan ekonomi yang pesat, usaha pembinaan semula dan penstabilan negara itu, menurut satu kenyataan akhbar.
Langkah itu termasuk sekatan yang menjejaskan bekalan tenaga serta menghalang pergerakan individu dan barangan.
Selain itu, institusi kewangan dalam EU akan dibenarkan mengekalkan hubungan dengan bank Syria di bawah syarat tertentu bagi memudahkan transaksi berkaitan pembinaan semula.
Keputusan itu berkuat kuasa pada Selasa selepas diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kemungkinan untuk menggantung lebih banyak sekatan ekonomi sedang dipertimbangkan.
Menteri EU sebelum ini telah bersetuju secara prinsip pada bulan lepas untuk secara beransur-ansur melonggarkan sekatan terhadap Damsyik.
EU akan "memantau dengan teliti situasi di negara itu bagi memastikan penggantungan sedemikian kekal bersesuaian," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, sekatan EU berkaitan rejim al-Assad, sektor senjata kimia dan perdagangan dadah haram akan terus dikekalkan.
Sejak 2011, EU telah mengenakan sekatan sebagai tindak balas terhadap tindakan ganas yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
-- BERNAMA
#gantung sekatan #Syria #Kesatuan Eropah #pembangunan semula #Bashar al-Assad
;