EU lulus pakej sekatan ke-14 terhadap Rusia

Bernama
Jun 24, 2024 23:45 MYT
Majlis EU memaklumkan bahawa langkah itu menyasarkan sektor bernilai tinggi dalam ekonomi Rusia, termasuk tenaga, kewangan dan perdagangan, menjadikannya lebih sukar untuk memintas sekatan EU. - Gambar fail/Reuters
BRUSSELS: Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin meluluskan pakej ke-14 langkah sekatan ekonomi dan individu terhadap Rusia.
Dalam satu kenyataan, Majlis EU memaklumkan bahawa langkah itu menyasarkan sektor bernilai tinggi dalam ekonomi Rusia, termasuk tenaga, kewangan dan perdagangan, menjadikannya lebih sukar untuk memintas sekatan EU.
Sekatan baharu itu termasuk langkah sekatan ke atas tambahan 116 individu dan entiti.
Dalam sektor tenaga, EU akan melarang perkhidmatan pemunggahan semula gas asli cecair (LNG) Rusia di wilayah EU untuk operasi pemindahan penghantaran ke negara ketiga, dan melarang pelaburan baharu, serta penyediaan barang, teknologi dan perkhidmatan untuk penyiapan projek LNG yang sedang dalam pembinaan.
Bagi kewangan, Majlis memutuskan untuk mengharamkan penggunaan Sistem Pemindahan Mesej Kewangan (SPFS), perkhidmatan mesej kewangan khusus yang dibangunkan oleh Bank Pusat Rusia, untuk meneutralkan kesan langkah sekatan.
EU telah memperluas larangan penerbangan, memperluas larangan pengangkutan barang melalui jalan raya di dalam wilayahnya dan mengenakan sekatan ke atas eksport barang seperti bahan kimia, termasuk bijih mangan dan sebatian nadir bumi, plastik, jentera penggali, monitor dan peralatan elektrik.
Sekatan lanjut ke atas import helium dari Rusia juga telah diperkenalkan.
-- BERNAMA
#Kesatuan Eropah #jentera penggali #bahan kimia #sekatan ekonomi
;