EU lulus dana pelan pemulihan pandemik
Astro Awani
Julai 14, 2021 08:56 MYT
Julai 14, 2021 08:56 MYT
MENTERI-menteri kewangan Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa meluluskan pelan pemulihan ekonomi bagi negara-negara anggota.
Kelulusan ini akan membolehkan negara-negara anggota memohon dana untuk melonjakkan semula ekonomi, khususnya dalam meningkatkan kapasiti digital dan lebih mesra alam.
Ia merupakan antara langkah penting untuk memanfaatkan dana sokongan 800 bilion euro.
Dana tersebut dipersetujui selepas blok itu mengalami kelembapan ekonomi terburuk sejak penubuhannya.
"Barisan menteri memberi lampu hijau kepada Pelan Pemulihan dan Ketahanan 12 Negara. Ia melibatkan Austria, Belgium, Denmark, Perancis, Jerman, Greece, Itali, Latvia, Luxemborg, Portugal, Slovakia dan Sepanyol.
"Kami telah lama bersedia dengan pelan ini. Dana EU kini boleh mula dimanfaatkan untuk membiayai reformasi dan pelaburan yang amat diperlukan di negara-negara terlibat," kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Valdis Dombrovskis, di Brussels, Belgium.
EU menjangkakan lebih banyak dana bagi pelan pemulihan akan diluluskan penghujung musim panas ini.
#EU
#pelaburan
#Kesatuan Eropah
#pandemik
#pelan pemulihan ekonomi
#pemulihan
#ekonomi
#Valdis Dombrovskis