EU lewatkan bantuan kewangan US$8 bilion untuk Ukraine: Zelenskyy
Bernama
Ogos 5, 2022 15:08 MYT
Ogos 5, 2022 15:08 MYT
MOSCOW: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata, Kesatuan Eropah (EU) sengaja melewatkan peruntukan sokongan kewangan makro untuk negara itu bernilai lapan bilion euro (kira-kira US$8.2 bilion), lapor Sputnik.
"Lapan bilion euro untuk Ukraine masih dibekukan. Kelewatan sokongan kewangan makro untuk negara kita ini sama ada jenayah atau kesilapan. Dan sukar untuk mengatakan mana yang lebih teruk," kata Zelenskyy dalam video yang disiarkan di Telegramnya.
Zelenskyy berkata, beliau sentiasa membangkitkan hal itu setiap hari.
"Kami berharap ini adalah satu kesilapan dan ia akan diperbetulkan," katanya.
Timbalan Ketua Pejabat Presiden Ukraine, Ihor Zhovkva pada Selasa berkata, Jerman bertanggungjawab atas kelewatan sokongan kewangan itu.
Bagaimanapun, Berlin menafikan tuduhan itu. - BERNAMA