EU lancar siasatan ke atas subsidi China untuk kereta elektrik
Bernama
September 13, 2023 20:49 MYT
September 13, 2023 20:49 MYT
STRASBOURG (Perancis): Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Rabu mengumumkan siasatan anti-subsidi ke atas kenderaan elektrik dari China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pasaran global dibanjiri dengan kereta elektrik China yang murah, kata von der Leyen, ketika berucap kepada penggubal undang-undang Kesatuan Eropah di Strasbourg, Perancis.
Harga ditawarkan mereka kekal rendah oleh kerana "subsidi negara yang besar", katanya yang mengakibatkan kepada gangguan pasaran di EU.
EU, bagaimanapun, tidak bertolak ansur dengan gangguan pasaran sama ada dari dalam blok atau dari luar, kata von der Leyen.
"Eropah terbuka kepada persaingan, bukan untuk perlumbaan ke bawah," katanya.
Pada masa yang sama, adalah "penting untuk mengekalkan saluran komunikasi dan dialog terbuka dengan China," tambahnya.
-- BERNAMA