EU kecam Israel langgar keputusan ICJ
Astro Awani
Mei 28, 2024 08:10 MYT
Mei 28, 2024 08:10 MYT
BRUSSELS: Ketua Dasar Luar Blok Kesatuan Eropah (EU), Joseph Borrell mengecam keras Israel yang bertindak meneruskan serangan ketenteraan di selatan Gaza walaupun keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah pun dikeluarkan.
Ia sekali gus mencerminkan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu itu melanggar keputusan ICJ.
Borrell turut menempelak, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan dakwaan palsu antisemitisme terhadap ICJ untuk tujuan politiknya sendiri.
“Saya ingin bertegas, saya telah mengeluarkan twit awal pagi ini mengenai berita ngeri yang keluar dari Rafah, mengenai serangan udara Israel yang membunuh puluhan orang yang kehilangan tempat tinggal. Angka terakhir nampaknya sekitar 40 orang, termasuk kanak-kanak kecil, dibakar.
“Saya mengutuk tindakan ini sekeras-kerasnya. Ia membuktikan bahawa tiada tempat selamat di Gaza dan serangan ini berlaku sejurus selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengarahkan Israel untuk menghentikan semua aktiviti ketenteraan di Gaza,” Borrell berkata demikian kepada media selepas mesyuarat bersama menteri tertinggi negara Arab.
Borrell juga menggesa supaya perlaksanaan penyelesaian dua negara dibincangkan segera.
“Salah satu cadangan dari kepimpinan negara Arab adalah mempertimbangkan perbincangan antarabangsa bertajuk 'Bagaimana kita melaksanakan penyelesaian dua negara?' Ya, ini sepatutnya tujuannya, bukan untuk membincangkan lebih lanjut mengenai mahu atau tidak penyelesaian dua negara, kerana ini sudah cukup dibincangkan.
“Tetapi bagaimana untuk melaksanakannya. Cadangan ini mungkin digabungkan dengan permintaan atau mandat Majlis Kesatuan Eropah untuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa,” katanya lagi.
EU pada masa sama bersetuju untuk menghidupkan semula misi awam EU di Rafah.
Bagaimanapun ia memerlukan persetujuan daripada semua pihak untuk meneruskan perkara berkenaan.
Blok itu sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan semula misi bantuan sempadan kesatuan Eropah (EUBAM) Rafah, yang tidak beroperasi sejak 2007, selepas hamas menguasai Gaza.
Lintasan Rafah adalah pintu masuk utama untuk bantuan dari Mesir, dan telah ditutup sejak tentera Israel menguasainya dari sebelah Gaza hampir tiga minggu lalu.
Diplomat berkata misi itu tidak mungkin dilakukan sebelum peperangan di Rafah berhenti.
#Israel
#Hamas
#Mahkamah Keadilan Antarabangsa
#Kesatuan Eropah
#EU
#Benjamin Netanyahu
#Joseph Borrell