EU hantar vaksin mpox ke Afrika
Bernama
Ogos 14, 2024 22:00 MYT
Ogos 14, 2024 22:00 MYT
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) akan menghantar 175,420 dos vaksin kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (AfricaCDC) untuk mencegah mpox - sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet - umum Suruhanjaya Eropah pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- EU akan menghantar 175,420 dos vaksin ke AfricaCDC untuk mencegah penyakit mpox, yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet.
- AfricaCDC telah mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam di seluruh benua Afrika dan meminta bantuan antarabangsa untuk mencapai sasaran dua juta vaksin.
- WHO sedang membincangkan sama ada mpox perlu diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).
AfricaCDC mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam seluruh benua pada Selasa, dan meminta bantuan antarabangsa untuk mencapai sasarannya menyediakan dua juta vaksin.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan mpox adalah penyakit virus yang menyebabkan ruam melepuh. Ia merebak melalui sentuhan fizikal dengan individu atau haiwan yang dijangkiti, serta bahan yang tercemar. Kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya.
WHO di Geneva telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kecemasannya untuk membincangkan wabak itu pada Selasa. Perbincangan mengenai sama ada Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) perlu diisytiharkan masih dijalankan.
Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan berkata ia akan membekalkan vaksin itu melalui Pihak Berkuasa Persediaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (HERA). Firma farmaseutikal Bavarian Nordic yang mengeluarkan vaksin itu akan mendermakan 40,000 dos kepada HERA, menurut kenyataan itu.
Menurut suruhanjaya itu, Modified Vaccinia Ankara-Bavarian Nordic (MVA-BN) diluluskan untuk digunakan pada orang dewasa yang berisiko oleh EU, United Kingdom dan Amerika Syarikat, antara lain.
Bagaimanapun, hanya dua negara Afrika telah meluluskannya setakat ini. Minggu lepas, WHO meminta Bavarian Nordic untuk mendapatkan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan bagi mempercepatkan proses menjadikannya tersedia di negara-negara yang terjejas.
-- BERNAMA