EU gesa periksa semua daging lembu beku
Astro Awani
Februari 13, 2013 07:01 MYT
Februari 13, 2013 07:01 MYT
Kesatuan Eropah (EU) menggesa anggotanya supaya mengadakan pemeriksaan rambang ke atas daging lembu bagi mengangani isu penjualan daging kuda yang dilabel sebagai daging lembu.
Bagi tujuan itu, ujian DNA perlu dilakukan untuk tempoh selama tiga bulan, bermula 1 Mac ini.
Pesuruhjaya Kesihatan EU, Tonio Borg berkata, ujian berkenaan perlu dilakukan dengan kehadiran pegawai veterinar.
Ujian secara rambang itu perlu dilaporkan selepas 30 hari katanya lagi.
Borg turut mengecam pihak tertentu yang melakukan penipuan semata-mata untuk mendapatkan wang.
Dalam pada itu, menteri EU telah mengadakan mesyuarat tergempar bagi mencari jalan untuk mengesan daging kuda itu di pasaran.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh anggota EU daripada negara yang terjejas teruk akibat skandal berkenaan ialah Britain, Ireland, Romania, Poland dan Sweden.
Setakat ini skandal daging lembu itu tidak melibatkan isu kesihatan pengguna, sebaliknya hanya penipuan.
Skandal itu menyaksikan berjuta-juta daging lembu beku ditarik balik di seluruh Eropah.
Dalam pada itu, skandal daging lembu itu kini merebak ke Jerman selepas pihak berkuasa mengesan produk lasagna daging kuda yang dilabel sebagai daging lembu telah dihantar kepada salah seorang peniaga di utara Jerman.