EU derma 215,000 vaksin cacar monyet ke Afrika - Suruhanjaya Eropah

Bernama
Ogos 15, 2024 14:55 MYT
Pada Selasa, Africa CDC mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam akibat wabak cacar monyet di benua itu dan memohon masyarakat antarabangsa untuk membantu mengumpulkan kira-kira 2 juta dos vaksin. - Gambar fail/X@Bernama
MOSCOW: Suruhanjaya Eropah mengumumkan bahawa pihaknya sedang menyelaraskan sumbangan lebih 215,000 dos vaksin cacar monyet kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC).
Usaha ini bertujuan untuk menyokong tindak balas Afrika terhadap wabak cacar monyet, lapor Sputnik.
Pada Selasa, Africa CDC mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam akibat wabak cacar monyet di benua itu dan memohon masyarakat antarabangsa untuk membantu mengumpulkan kira-kira 2 juta dos vaksin.
Sekurang-kurangnya 15,074 kes cacar monyet termasuk 2,853 kes disahkan dan 12,221 kes disyaki serta 461 kematian dilaporkan di 12 negara anggota Kesatuan Afrika dari Januari hingga Julai.
"Suruhanjaya Eropah melalui Health Emergency Preparedness and Response Authority (HERA) akan memperoleh dan menderma 175,420 dos vaksin MVA-BN, satu-satunya vaksin cacar monyet yang diluluskan FDA dan EMA, sebagai tindak balas segera terhadap wabak cacar monyet di Afrika.
"Selain itu, syarikat farmaseutikal Bavarian Nordic akan menderma 40,000 dos kepada HERA. Africa CDC akan mengagihkan vaksin mengikut keperluan serantau," kata Suruhanjaya EU dalam satu kenyataan pada Rabu.
-- BERNAMA
#cacar monyet #vaksin #Kesatuan Afrika #Africa CDC