EU dan beberapa negara Eropah selar serangan balas Palestin ke atas Israel

Agensi
Oktober 7, 2023 20:18 MYT
Beberapa pemimpin negara Eropah, termasuk Sepanyol, Perancis, dan German turut senada dengan kesatuan itu - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu telah menzahirkan solidaritinya ke atas Israel selepas Pejuang Hamas dan Al-Qassam melancarkan serangan balas dengan ribuan roket di sempadan Gaza.
Selain itu beberapa pemimpin negara Eropah, termasuk Sepanyol, Perancis, dan German turut senada dengan kesatuan itu, sambil menganggap Israel mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk mempertahankan dirinya daripada sebarang ancaman.
Wakil Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar, Josep Borrell dalam catatan melalui laman media sosial X, melihat serangan balas itu sebagai sesuatu yang menakutkan, dan menganggap ia merupakan tindakan pengganas.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Pemangku Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares; dan Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock pula senada dan menganggap serangan itu merupakan keganasan yang mendiskriminasikan hak dan kebebasan penduduk Israel.
Namun Presiden Turki Tayyip Erdogan pula memilih untuk lebih berdiplomasi, dan menyeru kedua-dua pihak Israel dan Palestin untuk tidak bertindak dengan terburu-buru, dan mengelakkan daripada situasi menjadi lebih buruk.
Terdahulu agensi rasmi Palestin, WAFA, melaporkan Presiden Palestin Mahmoud Abbas sebagai berkata, rakyatnya mempunyai hak untuk melindungi diri dan negara daripada ancaman luar, termasuk tindakan menakut-nakutkan penduduk Palestin serta pemilikan tanah secara haram.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat tergempar di Ramallah, dengan beberapa pemimpin kanan dan pihak berkuasa Palestin.
Setakat jam 6 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 22 rakyat Israel telah terbunuh, dan ratusan lagi cedera, manakala puluhan tentera Israel telah ditangkap oleh pejuang Hamas dan Al-Qassam.
Awal hari ini, Ketua Angkatan Tentera Penentang dan Briged Al-Qassam, Muhammad Al-Deif dilaporkan sebagai berkata, Israel tidak mengendahkan amaran yang telah diberikan, sehingga mencemar kesucian Masjid Al-Aqsa dan membunuh ratusan warga Palestin.
"Kami telah memberi amaran kepada pihak Israel sebelum ini. Mereka menyerang Morabitun (Jawatankuasa Penjaga al-Aqsa) dan penjaga-penjaga Masjid al-Aqsa, dan kami telah beri amaran supaya mereka hentikan tindakan itu. Israel berani mencemarkan kesucian Masjid al-Aqsa,” tegasnya lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan pembebasan Palestin membuat keputusan untuk menoktahkan segala jenayah yang dilakukan oleh penceroboh Israel, dan mengumumkan bermulanya operasi Al-Aqsa.
Operasi tersebut akan menyasarkan lapangan terbang dan kubu tentera, dengan menggunakan lebih 5,000 peluru berpandu.
Muhammad Al-Deif turut menyeru semua pejuang pembebasan untuk melancarkan serangan ke atas pendudukan Israel dengan apa cara dan peralatan yang ada, sekali gus menamatkan koordinasi keselamatan dengan pihak Israel.
#EU #Hamas #Masjid Al-Aqsa #Palestin
;