EU beri amaran kepada UK terhadap penghantaran pendatang ke Rwanda
Bernama
April 26, 2023 21:58 MYT
April 26, 2023 21:58 MYT
MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) telah memberi amaran kepada United Kingdom (UK) mengenai tindakannya membelakangkan keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) apabila merancang menghantar pendatang tanpa izin ke Rwanda, lapor Sputnik memetik akhbar Politico pada Rabu yang memetik para diplomat.
Suruhanjaya Eropah dan pegawai dari negara-negara EU berulang kali menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Rang Undang-undang Migrasi Haram, yang dirancang digunakan oleh Perdana Menteri UK Rishi Sunak bagi menyelesaikan kemasukan pendatang merentasi Selat Inggeris, menurut laporan itu.
Mengikut rang undang-undang itu, pendatang tanpa izin yang mendarat di pantai British akan dihantar pulang walaupun mereka memohon suaka.
Langkah itu bercanggah dengan keputusan ECHR yang melarang pengusiran sedemikian. Sayap kanan Parti Konservatif UK mencadangkan supaya membelakangkan keputusan mahkamah, yang secara serius membimbangkan ahli politik Eropah, lapor akhbar itu.
"Kami benar-benar bimbang mengenainya... Bagi kami, tidak ada penerimaan separa Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah. Kami berharap Rishi Sunak memahami kepentingan politik dalam isu itu," kata seorang diplomat kanan dari sebuah negara Eropah terkemuka kepada Politico.
Diplomat itu berkata visi ini telah "dikomunikasikan dengan jelas" kepada pihak berkuasa UK, yang "mengambil maklum" mengenainya.
Penghijrahan secara haram telah menjadi isu mendesak di UK selama bertahun-tahun dan semakin meningkat selepas negara itu meninggalkan Kesatuan Eropah pada 2020. Pada April 2022, UK dan Rwanda menandatangani perjanjian penghijrahan yang menetapkan bahawa orang yang diiktiraf oleh kerajaan UK sebagai pendatang tanpa izin atau pencari suaka akan dihantar ke Rwanda untuk pemprosesan dokumen dan mendapatkan suaka dan penempatan semula.
Pengusiran pertama pendatang ke Rwanda dijadualkan pada 14 Jun. Bagaimanapun, penerbangan itu dibatalkan pada saat terakhir apabila ECHR menerima rayuan semua pencari suaka di dalam pesawat. UK dilaporkan membayar Rwanda 120 juta pound (AS$145 juta) untuk pemindahan pendatang tanpa izin yang gagal ke negara itu, dan tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah.
Pada Mac 2023, Setiausaha Dalam Negeri UK Suella Braverman membentangkan rang undang-undang yang bertujuan memindahkan pendatang yang datang ke UK secara haram dengan bot merentasi Selat Inggeris ke "negara ketiga yang selamat" seperti Rwanda.
Suaka di UK hanya akan diberikan dalam kes luar biasa berdasarkan kuota tahunan. UK dan Rwanda akan menandatangani versi terkini perjanjian migrasi pada akhir bulan ini sebagai persediaan untuk pelaksanaan pelan Braverman.
Idea ini dikritik pembangkang UK dan pelbagai organisasi hak asasi manusia, dengan ramai mengatakan pemindahan paksa itu tidak akan berkesan dalam menghalang penghijrahan haram ke UK selain rang undang-undang itu melanggar hak asasi manusia
-- BERNAMA