EU berhasrat beli 110,000 dos vaksin cacar monyet
Bernama
Jun 14, 2022 20:05 MYT
Jun 14, 2022 20:05 MYT
ANKARA: Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa akan menandatangani perjanjian membeli 110,000 dos vaksin bagi memerangi wabak cacar monyet.
"Hari ini, kami akan menandatangani kontrak untuk memperoleh hampir 110,000 dos vaksin cacar monyet.
"Dibiayai oleh EU4Health, vaksin itu akan tersedia untuk negara anggota yang sangat memerlukan," ciap Pesuruhjaya Eropah untuk Kesihatan dan Keselamatan Makanan Stella Kyriakides.
Kyriakides berkata penghantaran bermula pada akhir Jun, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataannya di luar sesi mesyuarat menteri kesihatan EU di Luxembourg.
Meskipun vaksin COVID-19 diperoleh Suruhanjaya Eropah tetapi dibayar secara individu oleh negara EU, kontrak perolehan vaksin cacar monyet akan dibiayai menerusi belanjawan EU.
"Ini merupakan pertama kali kami menggunakan dana EU untuk membeli vaksin yang kemudiannya boleh kami edarkan kepada negara anggota," katanya.
Beliau berkata EU kini merekodkan 900 kes penyakit zoonotik yang jarang berlaku, dengan hampir 1,400 kes dilaporkan di seluruh dunia.
Wabak cacar monyet dikesan pada awal Mei dan telah direkodkan di 28 negara, menurut kemas kini terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
-- BERNAMA