Etihad syarikat penerbangan pertama dengan 100 peratus kru divaksin
Agensi
Februari 13, 2021 09:27 MYT
Februari 13, 2021 09:27 MYT
ETIHAD Airways, syarikat penerbangan nasional Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjadi syarikat penerbangan pertama di dunia yang telah memvaksinkan kepada semua juruterbang dan kru kabinnya.
Ia direalisasikan melalui inisiatif vaksinasi pekerja "Protected Together" Etihad yang dilancarkan secara rasmi pada Januari lalu.
“Kami menyediakan vaksin untuk semua kru, bukan sahaja membantu memerangi COVID19, tetapi juga untuk memastikan penumpang berasa yakin apabila terbang bersama kami.
"Kami adalah satu-satunya syarikat penerbangan di dunia yang mewajibkan saringan COVID19 bagi setiap penumpang dan anak kapal sebelum penerbangan.
"Kini, kami adalah syarikat penerbangan pertama di dunia dengan kesemua kru telah menerima vaksin," kata Tony Douglas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etihad Aviation Group.
Menepati sasaran kerajaan UAE untuk memberikan imunisasi kepada separuh populasi UAE pada akhir Mac, Etihad antara yang mendahului senarai dengan 75 peratus tenaga kerjanya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
"Mengikuti program vaksinasi nasional, kami bekerja keras untuk mendapatkan status klinik vaksinasi COVID-19 yang diluluskan bagi menyokong dan memudahkan akses vaksin untuk kakitangan kami dan tanggungan mereka," kata Naib Presiden Perkhidmatan Perubatan dan CSR, Etihad Aviation Group, Dr Nadia Bastaki.
#Etihad Airways
#kru kabin
#syarikat penerbangan
#program vaksinasi
#kru divaksin
#Protected Together
#COVID-19
#UAE
#vaksin