Erdogan, El Sisi desak gencatan senjata di Gaza
Astro Awani
Februari 15, 2024 08:20 MYT
Februari 15, 2024 08:20 MYT
KAHERAH: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir Abdel Fattah El Sisi sepakat mendesak Israel menamatkan operasi ketenteraan di Gaza.
Kenyataan dibuat ketika Erdogan melawat Mesir berikutan hubungan Ankara dan Kaherah kembali pulih selepas ketegangan selama bertahun-tahun.
Turki sebelum ini antara yang menyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dilabel Mesir sebagai kumpulan pengganas.
Erdogan tiba di Kaherah, lawatan pertamanya ke negara itu selepas lebih sedekad, selepas melawat Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pertemuan Erdogan dan El Sisi tertumpu kepada isu dan cabaran serantau khususnya usaha menamatkan perang di Gaza.
"Saya bersetuju dengan Presiden Erdogan dalam rundingan ini berhubung keperluan menguatkuasakan segera gencatan senjata di Gaza dan keperluan untuk mencapai kestabilan di Tebing Barat untuk meneruskan rundingan damai secepat mungkin.
"Ini bagi memenuhi deklarasi penubuhan negara Palestin berdaulat berdasarkan sempadan dipersetujui pada 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara," katanya.
Sementara itu Erdogan berkata, penguatkuasaan gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera ke Gaza menjadi keutamaan ketika ini.
"Pentadbiran Netanyahu meneruskan polisi pencerobohan, kemusnahan dan pembunuhan besar-besaran, di sebalik segala kritikan yang diterima.
"Penguatkuasaan gencatan senjata secepat mungkin dan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan segera ke Gaza menjadi keutamaan kami ketika ini," jelasnya.
Perang di Gaza kini menghimpit lebih 1.4 juta penduduk di Semenanjung Gaza yang bersempadan dengan Mesir.
Sebahagian besar mereka mendiami khemah sementara.
Jumlah korban rasmi penduduk Palestin kini melepasi angka 28,000 orang.