Erdogan dakwa rakaman audio disunting
Astro Awani
Februari 25, 2014 07:30 MYT
Februari 25, 2014 07:30 MYT
Susulan dakwaan salah laku melibatkan perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, dan mengecam pihak yang mengeluarkan rakaman audio yang menunjukkan beliau merancang menggelapkan wang bersama anaknya.
Erdogan mendakwa, rakaman tersebut disunting dan dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.
Erdogan mendakwa, rakaman audio dibuat secara pengintipan haram, dan merupakan satu ancaman terhadap karier politik beliau.
Rakaman tersebut mendedahkan perbualan Erdogan dan anaknya Bilal untuk menyembunyikan jutaan wang tunai dalam Euro di kediaman mereka.
Pendedahan tersebut mencetus protes di kalangan penyokong pembangkang yang menuntut Erdogan meletakkan jawatan.
Rakaman audio terbabit yang tidak dapat ditentukan kesahihannya, dikatakan satu daripada empat rakaman perbualan 17 Disember lalu.
Perbualan itu berlaku ketika anak tiga menteri dan sekutu perniagaan perdana menteri ditahan dalam siasatan rasuah besar-besaran.
Penganalisis menyifatkan pendedahan terbabit sebagai cabaran terbesar Erdogan, selepas memimpin Turki selama 11 tahun dan menjelang pilihan raya tempatan pada Mac ini.
Sementara itu, pemerhati mendakwa, ada kemungkinan perbualan tersebut sahih.
Ini berdasarkan hakikat sehingga kini, perdana menteri hanya menegaskan perbualan tersebut disunting, dan bukannya menafikan suara tersebut miliknya/