Erdogan beri tekanan pada Putin mengenai perjanjian gandum

Agensi
Ogos 28, 2023 07:30 MYT
Recep Tayyip Erdogan (kiri) akan segera mengunjungi Rusia untuk berbincang dengan Vladimir Putin (kanan) mengenai pemulihan perjanjian gandum Laut Hitam yang boleh digunakan sebagai landasan untuk perundingan perdamaian Ukraine dengan lebih luas.
ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan akan segera mengunjungi Rusia untuk berbincang dengan Vladimir Putin mengenai pemulihan perjanjian gandum Laut Hitam yang boleh digunakan sebagai landasan untuk perundingan perdamaian Ukraine dengan lebih luas.
Jurucakap parti pemerintah Erdogan, Omer Celik, memberitahu wartawan, pertemuan dua pemimpin dunia itu akan berlangsung di bandar peranginan Sochi, Rusia yang akan memberi tumpuan kepada menghindari ‘krisis makanan’ yang sedang mengancam.
"Seperti yang anda tahu, (Erdogan) akan melawat Sochi tidak lama lagi," kata Celik dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen, pada Isnin.
Agensi berita Bloomberg sebelum ini melaporkan, Erdogan bermungkinan akan bertemu dengan Putin yang juga Presiden Rusia pada 8 September.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu wartawan, mesyuarat itu sedang diatur dengan ‘intensif’ tetapi tidak memberikan masa atau tempat perbincangan tersebut.
Erdogan telah menggunakan hubungannya yang baik dengan Moskow dan Kyiv untuk mencuba membawa kedua-dua pihak ke dalam perbincangan perdamaian formal.
Beliau kali terakhir berjumpa secara peribadi dengan Putin di Astana iaitu ibu negara Kazakhstan pada bulan Oktober lalu. - Agensi
#Recep Tayyip Erdogan #Vladimir Putin #perjanjian gandum #konflik Rusia-Ukraine
;