Erdogan beri amaran terhadap ancaman ke atas Al-Aqsa

Bernama
April 20, 2022 03:49 MYT
Erdogan telah mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan Presiden Israel Isaac Herzog mengenai isu serantau dan hubungan dua hala. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa menggesa rakan sejawatannya dari Israel Isaac Herzog supaya tidak membenarkan "provokasi dan ancaman" terhadap status dan kesucian Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Dalam catatan di akaun Twitternya, Erdogan berkata beliau mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan Herzog mengenai isu serantau dan hubungan dua hala, terutamanya insiden membabitkan "beberapa kumpulan radikal Israel dan pasukan keselamatan di Palestin".
Erdogan "amat kecewa" dengan insiden di Tebing Barat dan perkarangan Masjid Al-Aqsa yang menyebabkan rakyat Palestin cedera atau terbunuh sejak bermulanya Ramadan.
Saban tahun insiden berpunca daripada pihak radikal ini mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, katanya.
Sejak beberapa minggu lalu, ketegangan antara Israel dan Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur kian memuncak.
Kira-kira 200 rakyat Palestin cedera dalam gelombang pertempuran baru-baru ini, terutamanya di perkarangan Masjid Al-Aqsa.
Perbincangan itu diadakan di tengah-tengah usaha perdamaian antara Israel dan Turki, yang hubungan kedua-duanya tegang sejak 2010.
-- BERNAMA
#Masjid Al-Aqsa #Palestin #Israel #Erdogan #Baitulmaqdis