Enjin pesawat British Airways terbakar di lapangan terbang
Sinar Harian
Julai 8, 2022 09:40 MYT
Julai 8, 2022 09:40 MYT
COPENHAGEN: Salah satu enjin sebuah pesawat komersial yang membawa sejumlah penumpang terbakar selepas ia mendarat di Lapangan Terbang Copenhagen, Denmark pada malam Rabu lalu.
Menurut polis, para penumpang pesawat British Airways itu kemudian dipindahkan dari pesawat berkenaan.
Anggota bomba turut bertungkus lumus memadamkan kebakaran salah satu enjin di sayap kiri pesawat Airbus A320-232 itu.
Kebakaran kemudian dapat dipadamkan oleh anggota bomba.
Tiada sebarang kecederaan membabitkan penumpang mahupun anak kapal dilaporkan.
Menurut seorang jurucakap syarikat penerbangan itu, semua penumpang dan anak kapal berjaya dikeluarkan dengan selamat dari pesawat berkenaan.
Sumber British Airways memberitahu portal berita MailOnline bahawa asap dikesan keluar dari pesawat itu disebabkan 'brek panas' sekitar jam 8 malam waktu tempatan.
Siasatan terperinci kini sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian. - Sinar Harian