Enjin bermasalah, pesawat Qantas berpatah balik
Astro Awani
November 8, 2024 16:30 MYT
November 8, 2024 16:30 MYT
SYDNEY: Sebuah pesawat Qantas yang dalam penerbangan ke Brisbane terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Sydney selepas mengalami masalah enjin.
Ringkasan AI
- Pesawat Qantas QF520 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Sydney selepas mengalami kegagalan enjin sebaik sahaja berlepas.
- Pesawat berkenaan terpaksa berlegar-legar di ruang udara sebelum melakukan pendaratan cemas. Pemeriksaan awal mengesahkan kegagalan enjin 'terkawal'.
- Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar insiden, termasuk kemungkinan kaitan dengan kebakaran rumput di landasan berdekatan.
Ketua Juruterbang Qantas, Kapten Richard Tobiano berkata, juruterbang pesawat QF520 menyedari pesawat berkenaan mengalami kegagalan enjin sebaik sahaja berlepas.
Menurutnya, sebelum melakukan pendaratan cemas, pesawat berkenan terpaksa berlegar-legar di ruang udara untuk satu tempoh yang singkat.
“Pasukan jurutera Qantas telah menjalankan pemeriksaan awal dan mengesahkan insiden itu disebabkan kegagalan enjin ‘terkawal’,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, penumpang pesawat tersebut Georgina Lewis memberitahu, dia terdengar bunyi dentuman yang kuat beberapa minit selepas berlepas.
“Kira-kira 10 minit kemudian, juruterbang pesawat memaklumkan pesawat mengalami masalah pada enjin sebelah kanan,” katanya.
Namun, Tobiano berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati letupan itu bukan dari pesawat berkenaan.
Sementara itu, jurucakap Lapangan Terbang Sydney berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sama ada insiden itu ada kaitan dengan kebakaran rumput di landasan berdekatan.
Namun, katanya, siasatan sedang dijalankan meliputi semua aspek.
Beliau memberitahu, kebakaran rumput di landasan berhampiran berjaya dikawal pasukan bomba dan penyelamat.