Enggan pakai pelitup muka dalam pesawat warga Jepun dipenjara 2 tahun: Laporan
Bernama
Disember 14, 2022 16:22 MYT
Disember 14, 2022 16:22 MYT
TOKYO: Mahkamah Jepun memerintahkan hukuman penjara dua tahun dengan penggantungan hukuman empat tahun ke atas seorang warga Jepun yang enggan memakai pelitup muka di dalam pesawat pada 2020 yang mencetuskan pendaratan cemas, lapor Sputnik.
Pekerja universiti, Junya Okuno, enggan memakai pelitup muka ketika dalam penerbangan Peach Aviation dari Hokkaido ke Osaka selepas pesawat itu berlepas, lapor penyiar Jepun NHK pada Rabu.
Atendan penerbangan meminta Okuno memakai pelitup muka di kabin pesawat, namun dia enggan kerana mendakwa ia tidak saintifik dan menuntut supaya arahan itu dibuat secara bertulis, menurut laporan itu.
Okuno berkata dia mengalami masalah kesihatan dan menghidap asma sejak kecil dan sukar bernafas jika memakai pelitup muka, lapor NHK.
Kapten pesawat menganggap tingkah laku Okuno itu sebagai ancaman kepada 120 penumpang lain dan membuat pendaratan cemas di Niigata dan lelaki itu diminta meninggalkan pesawat.
Ini menyebabkan pesawat lewat dua jam 15 minit untuk berlepas.
Pendakwa raya Jepun menuntut Okuno dihukum penjara empat tahun kerana disyaki menyebabkan kerosakan kepada aktiviti profesional dan multilasi. Mahkamah bersetuju bahawa tindakan lelaki itu merupakan ancaman keselamatan, menurut laporan.
-- BERNAMA