Enggan belajar di madrasah, remaja 13 tahun bunuh rakan

Agensi
September 14, 2022 17:28 MYT
Sejumlah pelajar sedang tekun belajar di sebuah madrasah di India. - Gambar REUTERS
NEW DELHI: Seorang remaja berusia 13 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh rakannya kerana enggan belajar di sebuah madrasah.
Kejadian yang berlaku di sebuah madrasah di daerah Nuh, India dilaporkan selepas mangsa dikesan hilang selama dua hari.
Memetik laporan The Indian Express, mayat pelajar berusia 11 tahun itu ditemui ditanam di aras bawah
masjid di sekolah pengajian agama berkenaan pada Isnin lalu.
Pegawai polis Varun Singla memaklumkan, suspek bertindak demikian dengan harapan pusat pengajian itu ditutup dan semua pelajar dibenarkan pulang ke rumah.
“Remaja itu berpendapat apabila jasad ditemui, semua pelajar diarah pulang agar tidak menganggu siasatan pihak polis... bahkan suspek juga sudah mengemas pakaian dan bersedia untuk pulang,” kata Singla.
Namun begitu, sebaik bapanya tiba di madrasah itu selepas mendengar berita kematian tersebut, dia menolak untuk membawa pulang anaknya, sebaliknya, meminta anak lelakinya itu untuk terus tinggal dan memberi perhatian pada pembelajaran, kata Singla.
Segalanya terbongkar sewaktu proses siasatan dijalankan, remaja berkenaan mula gementar dan mengaku kepada pihak polis dua hari kemudian.
Difahamkan, ini bukan kali pertama cubaannya untuk lari dari madrasah itu.
Sebelum ini, dia pernah melarikan diri sebanyak dua kali namun dihantar semula ke sana.
#India #madrasah #kes bunuh remaja #Nuh India
;