Enam terkorban dalam kemalangan kereta api di Denmark
Reuters
Januari 2, 2019 19:09 MYT
Januari 2, 2019 19:09 MYT
Sekurang-kurangnya enam maut dalam kemalangan kereta api di sebuah jambatan yang menyambungkan dua pulau terbesar di Denmark pada Rabu, menurut pengendali kereta api DSB.
Menurut badan penyelenggara dan kawalan trafik kereta api Banedanmark, kereta api penumpang yang sedang menuju ke pusat bandar itu dilaporkan terkena objek dari sebuah kereta api kargo.
Keadaan ribut menyukarkan pasukan mencari dan menyelamat tiba ke lokasi kejadian di atas jambatan Great Belt yang menghubungkan pulau Zealand dan Funen.
Dalam sidang media susulan kejadian itu, pihak polis tidak dapat mengesahkan jumlah kematian atau kecederaan.
Satu pusat kecemasan telah dibuka di bandar Nyborg dan jambatan tersebut telah ditutup kepada semua trafik buat sementara waktu.
Setiap hari, jambatan sepanjang 18 kilometer itu menampung perjalanan bagi 21,000 penumpang kereta api dan lebih 27,000 kenderaan menyeberanginya.