Enam pejuang SDF maut dalam serangan dron pangkalan AS di Syria
Agensi
Februari 5, 2024 22:10 MYT
Februari 5, 2024 22:10 MYT
BEIRUT: Enam pejuang Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai puak Kurdi terbunuh dalam serangan dron ke atas sebuah pangkalan Amerika Syarikat (AS) di timur Syria, lapor SkyNews.
Badan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 20 lagi cedera akibat serangan dron di telaga minyak al-Omar pangkalan gabungan terbesar diketuai AS di Syria.
Jelas badan pemantau itu, serangan itu terkena seksyen SDF di dalam pangkalan berkenaan, dalam 'serangan pertama kumpulan pro Iran terhadap pangkalan AS selepas AS menyerang Syria dan Iraq' akhir minggu lalu.
Pada 28 Januari lalu, dron merempuh sebuah pangkalan di Jordan, hingga menyebabkan tiga askar AS maut manakala lebih 40 lagi cedera.
Serangan itu, dakwa Washington, dilakukan pasukan disokong Iran.
AS bertindak balas pada Jumaat, dengan beberapa siri serangan unilateral ke atas sasaran berkaitan Iran di Syria dan Iraq.
Badan pemantau itu, yang bergantung kepada rangkaian sumber di dalam Syria berkata sekurang-kurangnya 29 pejuang pro Iran terbunuh dalam serangan AS di Syria.
Gabungan yang diketuai AS ditubuhkan pada 2014 untuk memerangi pejuang kumpulan Daesh yang merampas kawasan Iraq dan negara jiran Syria.