Enam maut di Sepanyol selepas bas terjunam ke dalam sungai

Agensi
Disember 26, 2022 12:30 MYT
Arus sungai yang deras dan aliran tinggi akibat hujan lebat yang melanda wilayah Galicia menghalang usaha untuk mengeluarkan mayat. - GUARDIA CIVIL/Handout via REUTERS
MADRID: Enam orang maut dan dua cedera selepas sebuah bas penumpang terbabas dari jambatan dan terjunam ke dalam sungai di barat laut Sepanyol, kata perkhidmatan kecemasan pada Ahad.
Dua mangsa yang terselamat, iaitu pemandu berusia 63 tahun dan seorang penumpang wanita, diselamatkan oleh anggota bomba dengan tali dan dibawa ke hospital berdekatan.
Pemandu itu didapati negatif alkohol dan dadah, kata jurucakap polis kepada Reuters.
Jurucakap itu menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat di sekitar jambatan itu kini telah selesai, manakala jurutera sedang cuba mencari jalan untuk mengeluarkan bangkai bas dari sungai.
Arus sungai yang deras dan aliran tinggi akibat hujan lebat yang melanda wilayah Galicia menghalang usaha untuk mengeluarkan mayat.
Bas itu sedang dalam perjalanan antara bandar Lugo dan Vigo pada malam Sabtu dan berhenti di kawasan penjara berhampiran tempat kemalangan.
Ia terbabas dari sebatang jalan lurus dan terjunam ke kedalaman sekurang-kurangnya 40 meter (131 kaki) pada kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan.
Pasukan penyelamat pada mulanya dihubungi orang ramai yang menyedari hadangan di jambatan itu telah rosak teruk. Mereka kemudian menerima panggilan kedua daripada mangsa dalam bas sebelum ia dipenuhi air.
Sungai itu melimpah sepanjang malam, memaksa pekerja penyelamat menangguhkan operasi selama hampir dua jam sebelum disambung semula pada waktu pagi.
Presiden wilayah Galicia, Alfonso Rueda, berkata keadaan cuaca yang sangat buruk berkemungkinan menjadi punca kemalangan itu.
#kemalangan #bas penumpang #sepanyol #Sungai
;