Enam maut, bumbung pusat beli-belah runtuh di Peru
Bernama
Februari 23, 2025 12:30 MYT
Februari 23, 2025 12:30 MYT
Sekurang-kurangnya enam orang maut dan 78 cedera selepas bumbung medan selera di pusat beli-belah Real Plaza Mall, Trujillo, Peru runtuh. -Reuters
LIMA: Sekurang-kurangnya enam maut manakala 78 lagi cedera selepas bumbung medan selera sebuah pusat beli-belah di barat laut Peru runtuh, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya enam orang maut dan 78 cedera selepas bumbung medan selera di pusat beli-belah Real Plaza Mall, Trujillo, Peru runtuh.
- Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa yang terselamat, dan 48 mangsa masih menerima rawatan di hospital, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.
- Presiden Peru, Dina Boluarte, menggesa siasatan menyeluruh dan tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab, sementara siasatan awal menunjukkan runtuhan mungkin berpunca daripada kegagalan penyelenggaraan.
Kejadian berlaku di pusat beli-belah Real Plaza Mall di Trujillo, lapor Xinhua.
Menurut agensi berita Andina, 30 daripada mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital, manakala 48 lagi masih menerima rawatan, termasuk tiga masih kritikal.
Pasukan penyelamat tiba beberapa minit selepas kejadian dan bekerja sepanjang malam untuk mencari mangsa yang terselamat.
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa struktur yang runtuh bukan sekadar kanopi ringan, sebaliknya merupakan binaan kukuh yang jatuh tepat di kawasan taman permainan kanak-kanak dalam medan selera.
Presiden Peru, Dina Boluarte menggesa siasatan menyeluruh serta tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.
"Kita tidak boleh membiarkan kepentingan ekonomi mengatasi nyawa manusia," tegasnya.
Pejabat Pendakwa Raya Wilayah Trujillo telah memulakan siasatan, sementara pegawai mendakwa runtuhan itu mungkin berpunca daripada kegagalan penyelenggaraan.
Kerajaan Wilayah La Libertad mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari.
-- BERNAMA